Memories of Nobody
kisah tiga orang pemuda
Dari 'Abdullah bin 'Umar r.a: dari Rasulullah SAW sabdanya:" Pada suatu ketika, ada 3 orang sedang dalam perjalanan, tiba-tiba mereka ditimpa hujan lebat. Kerana itu mereka masuk kedalam sebuah gua di sebuah bukit. Tiba-tiba dari puncak bukit itu jatuh sebuah batu besar lalu menutup pintu keluar dari gua itu sehingga mereka terkurung di dalam gua itu tidak dapat keluar. Maka berkata sesama mereka:" Marilah kita ingat semula amal-amal soleh kita yang pernah kita lakukan kerana mencari redha Allah SWT. Berdoalah kepada Allah SWT mudah-mudahan kerana amal-amal soleh itu Allah SWT membukakan pintu bagi kita keluar.Maka berdoalah orang yang pertama:" Wahai Allah SWT! Aku mempunyai ibu bapa yang sudah tua, seorang isteri dan beberapa orang anak yang masih kecil, yang kesemuanya menjadi tanggunganku. Bila aku pulang dari gembala, ku perah susu untuk mereka dan yang pertama-tama kuberikan minuman adalah kedua ibubapaku yang sudah tua itu, setelah itu barulah anak-anakku. Pada suatu hari aku terlambat pulang mencari kayu api dan bila aku sampai di rumah, hari sudah petang dan aku dapati kedua ibubapaku sudah tidur. Seperti biasa aku perah susu dan kubawa untuk kedua ibubapaku. Aku berdiri dekat kepala kedua ibubapaku dan tidak sampai hati untuk mengejutkan mereka yang tidur. Dan aku tidak mahu memberikan susu itu kepada anak-anakku sebelum kedua ibubapaku meminumnya terlebih dahulu. Padahal anak-anakku sedang menangis di kakiku meminta susu. Demikianlah keadaanku dan isteriku sehingga sampai terbit fajar (menunggu kedua ibubapaku bangun).Wahai Allah SWT! Engkau tahu bahawa aku berbuat demikian kerana mencari redhaMu. Maka tolonglah bukakan pintu gua ini bagi kami supaya kami dapat melihat langit." Lalu dibukakan Allah SWT pintu gua itu sedikit sehingga mereka dapat melihat langit.Kemudian berdoalah orang yang kedua:" Wahai Allah SWT! Aku mempunyai seorang pakcik dan pakcikku itu mempunyai seorang anak gadis. Aku sangat mencintai anak gadis pakcikku itu seperti lazimnya seorang pemuda mencintai seorang dara. Lalu kuminta dia menjadi isteriku, tetapi dia menolak permintaanku sebelum aku menyerahkan kepadanya 100 dinar. Maka dengan susah payahnya aku mengumpulkan 100 dinar lalu kuberikan kepadanya. Ketika aku hendak menyetubuhinya (ketika aku berada diantara kedua kangkangnya), dia berkata kepadaku:" Hai 'Abdullah! Takutlah kepada Allah SWT! Jangan engkau buka cincin (kegadisan) melainkan dengan cara yang sah (nikah)." Mendengar kata-katanya itu, aku terus berdiri dan pergi meninggalkannya. Wahai Allah SWT! Engkau tahu aku melakukan itu kerana mencari redhaMu. Kerana itu tolonglah bukakan pintu gua ini bagi kami." Maka terbukalah pintu gua sedikit.Kemudian orang yang ketiga berdoa pula:" Aku pernah mengupah seorang membuat peti tempat menyimpan padi. Ketika pekerjaannya telah selesai, dia minta upah kepadaku. Lalu kuberikan kepadanya semacam padi tetapi dia menolak upah yang aku berikan. Namun begitu, padi itu aku tanam untuknya dan hasilnya aku kumpulkan, kemudian aku belikan sapi dan aku gembalakan. Kemudian dia datang semula kepadaku, lalu bertanya:" Takutlah kamu kepada Allah SWT! Jangan mengambil hakku!" Jawabku:" Pergilah ke padang rumput tempat gembala sapi-sapi itu, lalu ambillah sapi-sapi itu semuanya!" Kata orang itu:" Takutlah kepada Allah SWT! Janganlah engkau cuba mempermainkan aku!" Jawabku:" Aku tidak mempermainkanmu! Ambillah sapi-sapi itu semuanya dan gembalakanlah untukmu!" Lalu diambilnya kesemua sapi-sapi itu dan kemudian dia pergi. Wahai Allah SWT! Tentu Engkau tahu aku berbuat demikian kerana mencari keredhaanMu juga. Maka tolonglah bukakan pintu gua ini bagi kami."Maka terbukalah pintu gua itu seluruhnya.-Shahih Muslim-
11:11 PM
Friday, July 11, 2008
- msnizam -