Memories of Nobody
salahuddin al ayubi

3:57 AM
Wednesday, July 30, 2008
- msnizam -


keutamaan sujud
Dari Ma'dan bin Abi Thalhah al Ya'muri r.a katanya:" Aku bertemu dengan Tsauban, maula Rasulullah SAW, lalu aku bertanya kepadanya:" Ajarkanlah aku suatu amalan yang apabila aku amalkan, aku akan masuk syurga kerananya." Dia tidak menyahut sehingga aku mengulangi permintaan aku sebanyak tiga kali. Akhirnya dia menjawab:" Aku pula pernah bertanya kepada Rasulullah SAW seperti mana soalan kamu. Maka jawab Rasulullah SAW:" Perbanyakkanlah sujud kepada Allah SWT kerena sesungguhnya apabila engkau sujud satu kali, Allah SWT akan mengangkat satu derajat dan menghapuskan satu dosa daripadamu." Kata Ma'dan:" Kemudian aku bertemu dengan Abu Darda', lalu aku tanyakan soalan yang sama kepadanya. Maka jawapannya sama seperti mana jawapan Tsauban kepadaku."

10:53 PM
Tuesday, July 29, 2008
- msnizam -


berzina dengan isteri jiran
Abdullah bin Mas’ud meriwayatkan katanya : “Aku bertanya : “ Ya Rasulullah! Manakah satu dosa yang paling besar? Baginda bersabda : “Engkau menjadikan sekutu bagi Allah sedangkan Ia yang menciptakan engkau. Aku bertanya : “ Kemudian apa ?” Baginda bersabda : “ Engkau membunuh anak mu kerana takut ia makan bersama mu. Aku bertanya : “ Kemudian apa ?” Baginda bersabda : “ Engkau berzina dengan isteri jiran mu.”

10:42 PM
Saturday, July 26, 2008
- msnizam -


solat sunat tahiyatul masjid
Dari Abu Qatadah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:" Apabila kamu masuk masjid, solatlah lebih dahulu dua rakaat sebelum kamu duduk."

Dari Abu Qatadah r.a iaitu sahabat Rasulullah SAW katanya:" Pada suatu ketika , aku masuk ke dalam masjid ketika Rasulullah SAW sedang memberikan pengajian kepada orang ramai. Lalu aku terus duduk di antara mereka. Maka Rasulullah SAW bersabda:" Apa yang menghalangi engkau daripada solat dua rakaat sebelum engkau duduk?" Jawabku:" Ya Rasulullah SAW! Kerana aku melihat ada sama-sama duduk bersama orang ramai." Maka Rasulullah SAW bersabda:" Apabila masing-masing kamu masuk ke dalam masjid, maka jangan duduk sebelum kamu solat dua rakaat."

11:21 PM
Thursday, July 24, 2008
- msnizam -


iman dan maksiat
Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:" Tidak sempurna iman seorang penzina ketika dia sedang berzina, dan tidak sempurna iman seorang pencuri ketika dia sedang mencuri dan tidak sempurna iman seorang pemabuk ketika dia sedang minum khamar, sedangkan pintu taubat sentiasa terbuka sesudah itu."

11:00 PM
Monday, July 21, 2008
- msnizam -


My Sis :)
Angah: Anak-anak perempuan ibu semunyer ader lagu masing-masing untuk diri sendiri..
Ibu: Lagu aper?
Angah: Untuk angah..Farhana..untuk Nabilah..Nabilah..
Ibu: oO yer ker? tak perasan lak ibu..
Angah: hehehe...






5:56 AM

- msnizam -


tanda-tanda munafik
Dari 'Abdullah bin 'Amr r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:" Ada 4 sifat yang apabila terdapat pada diri seseorang, maka dia adalah munafik sehingga dia meninggalkan sifat-sifat itu 1) Apabila dia berbicara dia dusta 2) Apabila dia bersumpah setia, dia khianat 3) Apabila dia berjanji, dia mungkir 4) Apabila dia bermusuhan, dia kejam."

Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:" Tanda-tanda munafik ada 3.
1) Apabila dia berbicara, dia dusta.
2) Apabila berjanji, dia mungkir.
3) Apabila dipercayai, dia khianat. "

10:36 PM
Sunday, July 20, 2008
- msnizam -


muslim yang baik
Dari Anas bin Malik r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:" Belum sempurna iman seseorang kamu, sebelum dia mencintai aku melebihi cintanya kepada anak-anaknya, kepada bapanya dan kepada semua manusia."

Dari Anas bin Malik r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:" Belum sempurna iman seseorang kamu sebelum dia mencintai bagi saudaranya atau bagi tetangganya, apa yang di cintainya untuk dirinya sendiri."

Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:" Tidak akan masuk syurga orang yang tidak membuat tetangganya aman dari fi'il perangainya yang tidak senonoh."

Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:" Siapa yang beriman dengan Allah SWT dan hari kiamat, maka janganlah dia menyakiti tetangganya. Dan siapa yang beriman dengan Allah SWT dan hari kiamat, hendaklah dia memuliakan tetamunya. Dan siapa yang beriman dengan Allah SWT dan hari kiamat, maka hendaklah dia berkata baik atau diam."

11:23 PM
Friday, July 18, 2008
- msnizam -


calling U - Only U

6:40 AM

- msnizam -


muslim yang baik
Dari 'Abdullah bin 'Amr r.a katanya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW:" Islam yang bagaimanakah yang baik?" Maka jawab Rasulullah SAW:" Memberi makanan dan mengucapkan salam kepada orang yang anda temui samaada anda kenal atau anda tidak kenal."

Dari 'Abdullah bin 'Amr bin 'Ash r.a katanya seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW:" Orang islam yang bagaimanakah yang paling baik?" Jawab Rasulullah SAW:" Ialah orang-orang yang menjaga orang-orang islam lainnya dari bencana lidah dan perbuatannya."

Dari Anas r.a, dari Rasulullah SAW sabdanya:" Ada tiga perkara, bila terdapat dalam diri seseorang maka dia akan merasakan bagaimana manisnya iman: Mencintai Allah SWT dan Rasul-Nya melebihi daripada yang lain-lain. Mencintai orang lain kerana Allah SWT semata-mata. Benci menjadi kafir kembali setelah Allah SWT melepaskannya dari kekafiran itu sebagaimana dia benciakan di lemparkan ke dalam neraka."

9:45 PM
Thursday, July 17, 2008
- msnizam -


nabi terakhir

Dari Jabir r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:" Perumpamaanku dengan Nabi-Nabi yang sebelumku adalah seperti orang yang membina rumah, lalu disempurnakannya dan dibaguskan buatannya kecuali suatu sudut (yang belum terpasang) dengan sebuah bata. Maka masuklah orang ramai ke rumah itu untuk melihat dan meninjau. Mereka kagum dengan keindahannya dan bertanya:" Kenapa batu di tempat ini belum di pasangkan?" Kata tuan rumah:" Yang akan memasangkannya adalah Muhammad Rasulullah SAW." Maka akulah yang akan meletakkan atau memasang bata itu dan aku datang sebagai Nabi yang terakhir."


11:11 PM
Wednesday, July 16, 2008
- msnizam -


bersumpah dengan nama Allah SWT
Dari 'Umar bin Khaththab r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:" Sesungguhnya Allah SWT melarang kamu bersumpah dengan menyebut nama bapamu." Kata 'Umar:" Demi Allah SWT! Semenjak aku mendengar Rasulullah SAW bersabda seperti itu, aku tidak pernah lagi bersumpah dengan menyebut nama bapaku, baik untuk orang lain atau untuk diri sendiri."

Dari 'Abdullah r.a katanya :" Pada suatu ketika, Rasulullah SAW mendapati 'Umar bin Khaththab berkenderaan dan 'Umar sedang bersumpah dengan menyebut nama bapanya. Lalu dipanggil oleh Rasulullah SAW dan baginda pun bersabda:" Ketahuilah! Sesungguhnya Allah SWT melarang kamu bersumpah dengan menyebut nama bapamu. Siapa yang bersumpah hendaklah dia bersumpah dengan nama Allah SWT atau diam."

11:20 PM
Tuesday, July 15, 2008
- msnizam -


solat malam dan witir
Dari 'Aisyah r.a katanya :" Rasulullah SAW pernah solat malam sebelas rakaat termasuk di antaranya witir satu rakaat. Apabila beliau telah selesai solat, beliau berbaring ke rusuk kanan sehingga datang tukang azan. Lalu beliau solat dua rakaat dengan ringkas."

Dari 'Aisyah r.a katanya:" Rasulullah SAW pernah solat malam tiga belas rakaat termasuk di dalamnya lima rakaat solat witir di mana beliau tidak duduk melainkan pada rakaat yang terakhir."

Dari 'Urwah r.a katanya 'Aisyah r.a mengabarkan bahawa Rasulullah SAW solat malam tiga belas rakaat termasuk di dalamnya 2 rakaat solat fajar."

Dari Abu Salamah bin 'Abdur Rahman r.a, dia bertanya kepada 'Aisyah katanya:" Bagaimana caranya Rasulullah SAW solat dalam malam bulan Ramadhan?" Jawab 'Aisyah:" Beliau solat tidak lebih dari sebelas rakaat baik dalam bulan Ramadhan mahupun bulan lainnya. Mula-mula beliau solat empat rakaat. Jangan tanya, alangkah bagusnya dan lamanya. Kemudian empat rakaat lagi, jangan tanya tentang bagusnya dan berapa lamanya. Kemudian solat witir tiga rakaat." Kata 'Aisyah r.a, dia pernah bertanya kepada Rasulullah SAW apakah beliau tidur dahulu sebelum witir. Jawab Rasulullah SAW:" Wahai 'Aisyah! Kedua mataku memang kelihatan tidur tetapi hatiku tidak."

11:22 PM
Monday, July 14, 2008
- msnizam -


Semangat juang para syuhada
Dari Jabir r.a katanya:" Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah SAW:" Di manakah tempatku, Ya Rasulullah SAW?" Jawab Rasulullah SAW:" Di syurga!" Lelaki itu segera membuang kurma yang di pegangnya, kemudian maju bertempur sehingga terbunuh." Dalam hadist Suwaid ada dinyatakan bahawa peristiwa itu terjadi dalam perang Uhud.

Dari Al Bara' r.a katanya:" Seorang lelaki Bani Nabit dari kabilah Anshar datang kepada Rasulullah SAW lalu dia mengucapkan tasyahhud, Ashadu al la ilaaha illallah wa annaka 'abduhu wa rasuluh [Aku mengaku tiada Tuhan melainkan Allah SWT dan sesungguhnya Anda adalah hamba Allah SWT dan Rasul-Nya], kemudian dia maju ke medan pertempuran sehingga dia terbunuh." Maka Rasulullah SAW bersabda:" Walaupun amalnya baru sedikit tapi pahalanya banyak."

Dari Anas bin Malik r.a katanya:"Rasulullah SAW menugaskan Busaisah merisik kekuatan dan gerak-geri pasukan Abu Sufyan. Ketika Busaisah datang melaporkan, di rumah tidak orang selain aku dan Rasulullah SAW. Mungkin kalau aku tidak tahu barangkali beliau mengistimewakan sebahagian isteri beliau (boleh mendengar berita rahsia). Lalu Busaisah menyampaikan laporannya. Kata Anas, kemudian Rasulullah SAW keluar dan bersabda:" Kita berangkat sekarang untuk satu tujuan. Siapa yang telah siap kenderaannya bolehlah berangkat bersama kami!"

Seorang lelaki meminta izin daripada Rasulullah SAW untuk mengambil kenderaannya di luar kota. Sabda Rasulullah SAW:" Tidak mengapa! Cukup orang-orang yang kenderaannya telah siap sahaja!" Maka berangkatlah Rasulullah SAW berserta para sahabatnya sehingga mereka terlebih dahulu sampai di Badar daripada kaum Musyrikin. Setelah kaum Musyrikin tiba, Rasulullah SAW bersabda kepada para sahabat:" Kalian tidak boleh bertindak sebelum ada perintah daripadaku!"

Setelah kaum Musyrikin semakin dekat maka Rasulullah SAW bersabda:" Majulah kalian ke syurga, yang lebarnya selebar langit dan bumi!" Lalu bertanya 'Umair bin Humam Al Anshari:" Ya Rasulullah SAW! Syurga lebarnya selebar langit dan bumi?" Jawab Rasulullah SAW:" Ya!" Kata 'Umair:" Wah Wah!" Maka Rasulullah SAW bertanya kepada 'Umair:" Kenapa wah wah, katamu?" Jawab 'Umair:" Tidak, demi Allah SWT, Ya Rasulullah SAW! Aku hanya berharap semoga aku menjadi penghuninya."

Jawab Rasulullah SAW:" Ya, sesungguhnya engkau penghuninya!" Kemudian di keluarkan kurma dari kantong pembekalannya lalu di makannya sebahagian. Sesudah itu dia berkata:" Seandainya aku masih hidup sampai kurma ini habis aku makan, sungguh lama sekali." Maka dilemparkannya kurma yang masih tersisa di tangannya lalu dia maju bertempur melawan musuh sehingga beliau tewas terbunuh."

10:23 PM
Saturday, July 12, 2008
- msnizam -


kisah tiga orang pemuda
Dari 'Abdullah bin 'Umar r.a: dari Rasulullah SAW sabdanya:" Pada suatu ketika, ada 3 orang sedang dalam perjalanan, tiba-tiba mereka ditimpa hujan lebat. Kerana itu mereka masuk kedalam sebuah gua di sebuah bukit. Tiba-tiba dari puncak bukit itu jatuh sebuah batu besar lalu menutup pintu keluar dari gua itu sehingga mereka terkurung di dalam gua itu tidak dapat keluar.

Maka berkata sesama mereka:" Marilah kita ingat semula amal-amal soleh kita yang pernah kita lakukan kerana mencari redha Allah SWT. Berdoalah kepada Allah SWT mudah-mudahan kerana amal-amal soleh itu Allah SWT membukakan pintu bagi kita keluar.

Maka berdoalah orang yang pertama:" Wahai Allah SWT! Aku mempunyai ibu bapa yang sudah tua, seorang isteri dan beberapa orang anak yang masih kecil, yang kesemuanya menjadi tanggunganku. Bila aku pulang dari gembala, ku perah susu untuk mereka dan yang pertama-tama kuberikan minuman adalah kedua ibubapaku yang sudah tua itu, setelah itu barulah anak-anakku. Pada suatu hari aku terlambat pulang mencari kayu api dan bila aku sampai di rumah, hari sudah petang dan aku dapati kedua ibubapaku sudah tidur. Seperti biasa aku perah susu dan kubawa untuk kedua ibubapaku. Aku berdiri dekat kepala kedua ibubapaku dan tidak sampai hati untuk mengejutkan mereka yang tidur. Dan aku tidak mahu memberikan susu itu kepada anak-anakku sebelum kedua ibubapaku meminumnya terlebih dahulu. Padahal anak-anakku sedang menangis di kakiku meminta susu. Demikianlah keadaanku dan isteriku sehingga sampai terbit fajar (menunggu kedua ibubapaku bangun).

Wahai Allah SWT! Engkau tahu bahawa aku berbuat demikian kerana mencari redhaMu. Maka tolonglah bukakan pintu gua ini bagi kami supaya kami dapat melihat langit." Lalu dibukakan Allah SWT pintu gua itu sedikit sehingga mereka dapat melihat langit.

Kemudian berdoalah orang yang kedua:" Wahai Allah SWT! Aku mempunyai seorang pakcik dan pakcikku itu mempunyai seorang anak gadis. Aku sangat mencintai anak gadis pakcikku itu seperti lazimnya seorang pemuda mencintai seorang dara. Lalu kuminta dia menjadi isteriku, tetapi dia menolak permintaanku sebelum aku menyerahkan kepadanya 100 dinar. Maka dengan susah payahnya aku mengumpulkan 100 dinar lalu kuberikan kepadanya. Ketika aku hendak menyetubuhinya (ketika aku berada diantara kedua kangkangnya), dia berkata kepadaku:" Hai 'Abdullah! Takutlah kepada Allah SWT! Jangan engkau buka cincin (kegadisan) melainkan dengan cara yang sah (nikah)."

Mendengar kata-katanya itu, aku terus berdiri dan pergi meninggalkannya. Wahai Allah SWT! Engkau tahu aku melakukan itu kerana mencari redhaMu. Kerana itu tolonglah bukakan pintu gua ini bagi kami." Maka terbukalah pintu gua sedikit.

Kemudian orang yang ketiga berdoa pula:" Aku pernah mengupah seorang membuat peti tempat menyimpan padi. Ketika pekerjaannya telah selesai, dia minta upah kepadaku. Lalu kuberikan kepadanya semacam padi tetapi dia menolak upah yang aku berikan. Namun begitu, padi itu aku tanam untuknya dan hasilnya aku kumpulkan, kemudian aku belikan sapi dan aku gembalakan. Kemudian dia datang semula kepadaku, lalu bertanya:" Takutlah kamu kepada Allah SWT! Jangan mengambil hakku!"

Jawabku:" Pergilah ke padang rumput tempat gembala sapi-sapi itu, lalu ambillah sapi-sapi itu semuanya!" Kata orang itu:" Takutlah kepada Allah SWT! Janganlah engkau cuba mempermainkan aku!" Jawabku:" Aku tidak mempermainkanmu! Ambillah sapi-sapi itu semuanya dan gembalakanlah untukmu!" Lalu diambilnya kesemua sapi-sapi itu dan kemudian dia pergi. Wahai Allah SWT! Tentu Engkau tahu aku berbuat demikian kerana mencari keredhaanMu juga. Maka tolonglah bukakan pintu gua ini bagi kami."

Maka terbukalah pintu gua itu seluruhnya.

-Shahih Muslim-

11:11 PM
Friday, July 11, 2008
- msnizam -


hadist palsu rejab dan syaaban
Agama wajib dipelihara ketulenannya supaya tidak berlaku campur aduk antara rekaan manusia dan perintah Allah dan Rasul-Nya. Jika agama boleh direka cipta, maka wahyu sudah tentu tidak diperlukan, juga Rasul tidak perlu diutuskan. Oleh itu Islam mengharamkan pembohongan di atas nama agama.

Dalam persoalan hadis, ramai kalangan kita yang begitu tidak berdisiplin dalam memetik hadis-hadis Nabi s.a.w., begitu juga dalam menghuraikannya. Sebahagiannya langsung tidak mengambil berat persoalan kethabitan iaitu kepastian di atas ketulenan sesebuah hadis.

Apa sahaja yang dikatakan hadis terus sahaja dibacakan kepada masyarakat tanpa meneliti takhrij dan tahqiq (keputusan) para ulama hadis terhadap kedudukannya. Lebih malang ada yang menyangka apa sahaja yang dikatakan hadis maka pastinya sahih dan wajib diimani.

Dengan itu apa sahaja yang mereka temui daripada buku bacaan, yang dikatakan hadis maka mereka terus sandarkan kepada Nabi s.a.w. tanpa usul periksa, sedangkan mereka lupa akan amaran yang diberikan oleh baginda Nabi s.a.w. dalam hadis yang mutawatir: “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain).“

Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka.” (Riwayat al-Bukhari, Muslim, dan selain mereka).

Berbohong menggunakan nama Nabi s.a.w. adalah satu jenayah yang dianggap sangat berat di dalam Islam. Perbohongan atau berdusta menggunakan Nabi s.a.w. adalah menyandar sesuatu perkataan, atau perbuatan, atau pengakuan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, yang mana baginda tidak ada kaitan dengannya.

Ini seperti menyebut Nabi s.a.w. bersabda sesuatu yang baginda tidak pernah bersabda, atau berbuat, atau mengakui sesuatu yang baginda tidak pernah melakukannya. Maka sesuatu yang dikaitkan dengan Nabi s.a.w. sama ada perkataan, atau perbuatan atau pengakuan, maka ia disebut sebagai al-hadis.

Namun menyandar sesuatu kepada Nabi s.a.w. secara dusta, bukanlah hadis pada hakikatnya. Cuma ia disebut hadis berdasar apa yang didakwa oleh perekanya dan ditambah perkataan al-Maudu’, atau al-Mukhtalaq iaitu palsu, atau rekaan. Maka hadis palsu ialah: “Hadis yang disandarkan kepada Nabi s.a.w. secara dusta, ia tidak ada hubungan dengan Nabi s.a.w.” (lihat: Nur al-Din Itr, Manhaj al-Nadq fi ‘Ulum al-Hadis, m.s.301, cetakan: Dar al-Fikr al-Mu‘asarah, Beirut).

Perbuatan ini adalah jenayah memalsu ciptakan agama, kerana Nabi adalah sumber pengambilan agama. Seperti seseorang yang memalsukan pasport di atas nama sesebuah kerajaan. Ia sebenarnya melakukan pembohongan dan jenayah terhadap kerajaan tersebut.

Kedudukan Nabi s.a.w. tentunya lebih besar dan agung untuk dibandingkan. Oleh itu dalam riwayat yang lain Nabi s.a.w. menyebut: “Jangan kamu berdusta ke atasku, sesiapa berdusta ke atasku maka dia masuk neraka.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim). Kata al-Hafizd Ibn Hajar al-‘Asqalani (meninggal 852H) dalam mengulas hadis ini: “Ia merangkumi setiap pendusta ke atas Nabi s.a.w. dan semua jenis pendustaan ke atas baginda.”

Maksudnya: “Jangan kamu sandarkan pendustaan ke atasku (menggunakan namaku)” (rujukan: Ibn Hajar al-‘Asqalani, Fath al-Bari, jld 1, m.s. 270, cetakan: Dar al-Fikr, Beirut).

Bukan sahaja membuat hadis palsu itu haram, bahkan meriwayatkannya tanpa diterang kepada orang yang mendengar bahawa ia adalah hadis palsu juga adalah sesuatu yang haram. Kata al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H): “Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ia hadis palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya.” (Ibn al-Salah,‘Ulum al-Hadis, m.s. 98)

Misalnya di tanah air kita, didapati apabila munculnya bulan Rejab dan Syaaban maka hadis-hadis palsu mengenai bulan-bulan tersebut akan dibaca dan diajar secara meluas. Antaranya hadis: “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku.” Ini adalah hadis palsu yang direka oleh Ibn Jahdam. (lihat: Ibn Qayyim al-Jauziyyah, al-Manar al-Munif fi al-Sahih wa al-Dha‘if, m.s. 95, cetakan: Maktab al-Matbu‘at al-Islamiyyah, Halab, Syria). Nama penuh Ibn Jahdam ialah Ali bin Abdillah bin Jahdam al-Zahid.

Ibn Jahdam meninggal pada tahun 414H. Beliau adalah seorang guru sufi di Mekah. Dia juga dituduh membuat hadis palsu mengenai solat Raghaib (iaitu solat pada Jumaat pertama bulan Rejab). (lihat: al-Imam al-Zahabi, Mizan al-‘Itidal fi Naqd al-Rijal,. 5, m.s. 173, cetakan: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, Beirut).

Sebab itulah al-Imam Ibn al-Salah (meninggal 643H) menyebut: Ada beberapa golongan yang membuat hadis palsu, yang paling bahaya ialah puak yang menyandarkan diri mereka kepada zuhud (golongan sufi). Mereka ini membuat hadis palsu dengan dakwaan untuk mendapatkan pahala. Maka orang ramai pun menerima pendustaan mereka atas thiqah (kepercayaan) dan kecenderungan kepada mereka.

Kemudian bangkitlah tokoh-tokoh hadis mendedahkan keburukan mereka ini dan menghapuskannya. Alhamdulillah. (Ibn al-Salah, ‘Ulum al-Hadis, m.s. 99)

Golongan penceramah, imam, khatib, dan media massa pula, ada menjadi ejen menyebarkan hadis-hadis palsu mengenai amalan-amalan yang dikatakan disunatkan pada bulan-bulan tersebut. Kata al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (wafat 751H): Hadis-hadis mengenai solat Raghaib pada Jumaat pertama bulan Rejab kesemuanya itu adalah palsu dan dusta ke atas Rasulullah s.a.w.

Begitu juga semua hadis mengenai puasa bulan Rejab dan solat pada malam-malam tertentu adalah dusta ke atas Nabi s.a.w. Demikian juga hadis-hadis mengenai solat pada malam Nisfu Syaaban (kesemuanya adalah palsu). Solat-solat ini direka selepas empat ratus tahun munculnya Islam (Ibn al-Qayyim, al-Manar al-Munif, m.s. 95-98).

Sebenarnya hadis sahih mengenai kebaikan malam Nisfu Syaaban itu memang ada, tetapi amalan-amalan tertentu khas pada malam tersebut adalah palsu. Hadis yang boleh dipegang dalam masalah Nisfu Syaaban ialah: “Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).

Al-Albani mensahihkan hadis ini dalam Silsilah al-Ahadis al-Sahihah. (jilid 3, m.s. 135, cetakan: Maktabah al-Ma‘arf, Riyadh).

Hadis ini tidak mengajar kita apakah bentuk amalan malam berkenaan. Oleh itu, amalan-amalan khas tertentu pada malam tersebut bukan dari ajaran Nabi s.a.w. Kata Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam menjawab soalan berhubung dengan Nisfu Syaaban: “Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi s.a.w. dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk menghidupkan malam Nisfu Syaaban, membaca doa tertentu dan solat tertentu seperti yang kita lihat pada sebahagian negeri orang Islam.”

Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam tersebut selepas maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yasin dan solat dua rakaat dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi‘in dan tabi’ tabi‘in). Ia satu doa yang panjang, yang menyanggahi nusus (al-Quran dan sunah) juga bercanggahan dan bertentang maknanya.

Perhimpunan (malam Nisfu Syaaban) seperti yang kita lihat dan dengar yang berlaku di sebahagian negeri orang Islam adalah bidaah dan diada-adakan. Sepatutnya kita melakukan ibadat sekadar yang dinyatakan dalam nas.

Segala kebaikan itu ialah mengikut salaf, segala keburukan itu ialah bidaah golongan selepas mereka, dan setiap yang diadakan-adakan itu bidaah, dan setiap yang bidaah itu sesat dan setiap yang sesat itu dalam neraka. (Dr. Yusuf al-Qaradawi, fatawa Mu‘asarah jilid 1, m.s. 382-383, cetakan: Dar Uli al-Nuha, Beirut).

Inilah kenyataan Dr. Yusuf al-Qaradawi, seorang tokoh ulama umat yang sederhana dan dihormati.Namun dalam masalah ini beliau agak tegas kerana ia bercanggah dengan apa yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Justeru, hadis-hadis palsu mengenai Rejab dan Syaaban ini hendaklah dihentikan dari disebarkan ke dalam masyarakat. Kita perlu kembali kepada agama yang tulen. Hasil dari memudah-mudahkan dalam hal seperti ini maka muncullah golongan agama yang suka mendakwa perkara yang bukan-bukan.

Dengan menggunakan nama agama segala rekaan baru dibuat untuk kepentingan diri dan kumpulan. Islam tidak pernah memberi kuasa kepada golongan agama, atau sesiapa sahaja untuk mendakwa apa yang dia suka kemudian menyandarkannya kepada agama.

Agama kita rujukannya ialah al-Quran dan al-sunah yang dipastikan kesabitannya mengikut yang diputuskan oleh para ulama hadis. Kata al-Syeikh Muhammad bin Muhammad Abu Syahbah (seorang ulama hadis al-Azhar): “Masih ada para penceramah yang tidak ada ilmu hadis, sama ada ilmu riwayat atau dirayah (mengenai teks hadis).”

Mereka hanya membaca hadis apa yang mereka hafal dan dari tulisan-tulisan tanpa mengetahui kedudukan hadis tersebut. Apa yang mereka pentingkan hanyalah reda orang ramai. Lalu mereka menyebut perkara yang berlebih-lebih, pelik dan ajaib yang Islam tiada kaitan dengannya.

Mereka ini sepatutnya dihalang dari berceramah, memberi nasihat dan bertazkirah. (Abu Syahbah, al-Wasit fi ‘Ulum wa al-Mustalah al-Hadis, m.s. 322, cetakan: Dar al-Fikr al-‘Arabi, Kaherah).

Saya menyeru diri sendiri, para penceramah, ustaz-ustaz, media elektronik dan cetak, bahkan semua pihak yang membaca sesuatu hadis memastikan kesahihannya dahulu. Semoga Rejab dan Syaaban tahun ini tidak dibaluti dengan pembohongan terhadap Nabi s.a.w.

10:11 PM
Thursday, July 10, 2008
- msnizam -


puasa sepanjang masa
Dari 'Abdullah bin 'Amru bin 'Ash r.a katanya:" Aku berpuasa sepanjang masa dan menamatkan Qur'an setiap malam. Mungkin perbuatanku itu dilaporkan orang kepada Rasulullah SAW atau mungkin juga beliau menyuruh orang memanggilku supaya datang kepada beliau."

Setelah aku datang kepada Rasulullah SAW, maka Rasulullah SAW bertanya kepadaku:" Betulkah apa yang diceritakan orang ramai kepada aku bahawa engkau berpuasa sepanjang masa dan menamatkan bacaan Al-Quran sepanjang malam?" Jawabku:" Benar ya Nabiyallah!! Tidak ada maksudku berbuat demikian melainkan hanya untuk kebaikan."

Rasulullah SAW bersabda:" Sesungguhnya sudah cukup engkau berpuasa tiga hari dalam sebulan." Jawabku:" Ya Nabiyallah! Sesungguhnya aku sanggup lebih daripada itu." Rasulullah SAW bersabda:" Engkau mempunyai kewajiban terhadap isterimu, terhadap tetamumu dan terhadap dirimu sendiri. Kerana itu puasalah seperti mana puasa Nabi Daud a.s, kerana beliau adalah orang yang paling taat beribadat."

Jawabku:" Ya Nabiyallah! Bagaimanakah puasa Nabi Daud a.s?" Jawab Rasulullah SAW:" Dia berpuasa sehari dan berbuka sehari." Dan Rasulullah SAW bersabda selanjutnya:" Dan tamatkanlah Al-Quran sekali sebulan." Jawabku:" Ya Nabiyallah! Aku sanggup lebih daripada itu."

Sabda Rasulullah SAW:" Tamatkanlah dua puluh hari sekali." JAwabku:" Aku sanggup lebih daripada itu." Rasulullah SAW bersabda:" Tamatkanlah sekali seminggu kerana engkau mempunyai kewajiban terhadap isterimu, terhadap tetamumu dan terhadap dirimu sendiri."

Aku merasa keberatan. Lalu Rasulullah SAW bersabda:" Engkau belum tahu, mudah-mudahan engkau panjang umur." Kata 'Abdullah:" Ketika aku telah mencapai usia lanjut seperti yang dikatakan Rasulullah SAW, aku menyesal kenapa tidak ku amalkan kelapangan yang diberikan Nabiyallah SAW."

9:45 PM

- msnizam -


waktu makan sahur dan menyegerakan berbuka
Dari Anas r.a dari Zaid bin Tsabit r.a katanya:" Kami pernah makan sahur bersama-sama dengan Rasulullah SAW. Tidak berapa lama kemudian kami pergi solat. Tanya Anasr.a:" Kira berapa lama jarak antara waktu makan dengan waktu solat?" Jawab Zaid r.a:" Kira-kira selama membaca 50 ayat,"

Dari Sahal bin Sa'ad r.a katanya Rasulullah SAW bersabda :" Berbahagialah selalu orang-orang yang menyegerakan puasa."

Dari Abu 'Athiyah r.a katanya :" Aku dan Masruq pernah datang menemui 'Aisyah r.a di rumahnya lalu kami bertanya:" Ya Ummul Mukminin! Ada dua orang sahabat Rasulullah SAW, yang satu menyegerakan berbuka dan solat dan yang satu lagi melambatkannya. Bagaimana itu?" Tanya 'Aisyah:" Siapakah yang menyegerakan berbuka dan solat itu?" Jawab kami:" Abdullah Ibnu Mas'ud." Kata 'Aisyah:" Menyegerakan itulah yang dilakukan Rasulullah SAW."

11:16 PM
Tuesday, July 8, 2008
- msnizam -


yaseen shareef

9:09 PM
Monday, July 7, 2008
- msnizam -


kewajiban dan hak sesama muslim
Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:" Kewajiban seorang muslim terhadap muslim lain ialah (1) Menjawab salam (2) Mendoakan yang bersin (3) Memenuhi undangan (4) Mengunjungi yang sakit (5) Ikut menghantar jenazah."

Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:" Hak seorang muslim terhadap seorang muslim yang lain ada 6 perkara." Lalu orang menanyakan kepada Rasulullah SAW:" Apa yang enam perkara itu Rasulullah SAW?" Jawab Rasulullah SAW:" (1) Bila engkau bertemu dengannya, ucapkanlah salam kepadanya (2) Bila dia mengundangmu, penuhilah undangannya (3) Bila dia minta nasihat, berilah dia nasihat (4) Bila dia bersin lalu dia membaca tahmid, doakanlah semoga dia dicucuri rahmat (5) Bila dia sakit, kunjungilah dia (6) Dan bila dia meninggal, ikutilah menghantar jenazahnya ke kubur."

11:43 PM
Sunday, July 6, 2008
- msnizam -


Boleh bergembira
Dari 'Aisyah r.a katanya:" Abu Bakar r.a datang ke rumahku dan ketika itu di rumahku ada dua orang gadis Anshar sedang menyanyikan lagu yang pernah di nyanyikan orang di dalam perang Bu'ats. Dan keduanya bukanlah penyanyi sebenarnya. Maka berkata Abu Bakar r.a:" Kenapa sampai ada seruling syaitan di rumah Rasulullah SAW?" Pada hari itu adalah hari raya 'Id. Maka bersabda Rasulullah SAW:" Hai Abu Bakar! Setiap kaum mempunyai hari raya dan hari ini adalah hari raya kita."

Dari 'Aisyah r.a katanya:" Pada suatu hari di Mina ('Idul Adha), Abu Bakar r.a ke rumahku sedangkan di rumahku ketika itu ada dua orang gadis sedang menyanyi dan memukul gendang. dan Rasulullah SAW sedang berselimut dengan kainnya. Lalu Abu Bakar membentak ke arah kedua gadis yang menyanyi itu. Kerana itu Rasulullah SAW menyingkapkan selimutnya dan bersabda:" Biarkanlah mereka hai Abu Bakar! Bukankah hari ini hari raya?"

10:22 PM
Thursday, July 3, 2008
- msnizam -


yang harus memberi salam
Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:" Orang yang berkenderaan hendaklah memberi salam kepada pejalan kaki, orang yang berjalan kepada yang duduk, dan orang yang sedikit kepada orang yang banyak."

Dari Thalhah r.a katanya:" Pada suatu ketika kami sedang duduk-duduk dan bercakap-cakap dijalanan. Rasulullah SAW datang kepada kami seraya bersabda:" Apa kerja kalian duduk-duduk di jalanan?" Jawab kami:" Kami hanya sekadar duduk-duduk dan berakap-cakap." Rasulullah SAW bersabda:" Kalau begitu, bayar hak jalanan iaitu jaga mata, jawab salam dan berbicaralah yang berguna (baik)."

10:10 PM
Wednesday, July 2, 2008
- msnizam -


jangan banyak berdebat
Dari Abu Hurairah r.a katanya dia mendengar Rasulullah SAW bersabda:" Apa yang telah aku larang kamu kerjakan hendaklah kamu hentikannya. Dan apa yang aku perintahkan kepadamu hendaklah kamu lakukan sehabis dayamu. Sesungguhnya umat sebelum kamu binasa kerana mereka banyak bertanya dan banyak berdebat terhadap nabi-nabi mereka."

Dari 'Amir bin Sa'ad dari bapanya r.a katanya Rasulullah SAW bersabda:" Sesungguhnya dosa terbesar di antara kaum muslimin ialah dosa orang yang menanyakan sesuatu yang tidak di haramkan oleh Allah SWT lalu Allah SWT mengharamkannya kerana pertanyaan itu."

11:46 PM
Tuesday, July 1, 2008
- msnizam -











I Think Therefore I Am






Free Hit Counters
Free Counter






[UstazFauzi]
[dakwahniaga]
[drmaza]
[PPMK]
[hadistharian]
[NurIman Korea]
[Batch65]
[SurauDYTC]
[Hadist40]
[Al-Quran Online]
[ILuvIslam]
[KalamYgBerbicara]

  • Demi Masa














  • April 2008
    May 2008
    June 2008
    July 2008
    August 2008
    September 2008
    October 2008
    June 2009


    I Think Therefore I Am


    Ghurabaa
  • Ceramah
  • I'm listening to