memuliakan tetamu dan mengutamakannya
Dari Abu Hurairah r.a katanya:" Seorang lelaki datang kepada Rasulullah SAW lalu dia berkata:" Aku dalam kesulitan (hidup susah dan lapar)." Maka Rasulullah SAW membawa lelaki itu ke rumah isteri beliau satu persatu, menanyakan sama ada mereka ada menyediakan makanan atau tidak. Para isteri baginda menjawab:" Dami Allah SWT yang mengutus anda dengan yang hak. Aku tidak menyediakan apa-apa selain daripada air."Begitulah jawapan mereka masing-masing. Lalu bersabda Rasulullah SAW kepada para sahabat:" Siapa bersedia menerima tetamu pada malam ini nescaya dia diberi rahmat oleh Allah SWT." Lalu bangun seorang lelaki Anshar dan berkata:" Aku ya Rasulullah SAW!"Maka dibawanya tetamu itu ke rumahnya. Dia bertanya kepada kepada isterinya:" Adakah engkau menyediakan makanan?" Jawab isterinya:" Tidak ada kecuali makanan anak-anak." Kata lelaki itu:" Pujuklah mereka dengan apa sahaja. Bila tetamu kita masuk, tunjukkanlah kepadanya bahawa kita makan bersamanya. Bila dia telah mulai makan, berdirilah dekat dengan lampu dan padamkannya." Maka tetamu pun makanlah. Setelah subuh, sahabat tersebut bertemu dengan Rasulullah SAW lalu Rasulullah SAW bersabda:" Allah SWT kagum dengan cara kamu melayani tetamu kalian malam tadi."Dari Abu Hurairah r.a katanya:" Seorang lelaki Anshar menerima kedatangan tetamu dan tetamu itu bermalam di rumahnya. Padahal dia tidak mempunyai makanan selain makanan untuk anak-anaknya. Maka dia berkata kepada isterinya:" Tidurkan anak-anak dan padamkan lampu. Sesudah itu berikan kepada tetamu kita apa yang ada."Kata Abu Hurairah:" Kerana peristiwa itu maka turunlah ayat:" Dan mereka melebihkan tetamu dari diri mereka sendiri sekalipun mereka dalam kesusahan...." ( Al Hasyar 59:9)
11:11 PM
Wednesday, June 25, 2008
- msnizam -